Laman Portal berita Semasa Dan terkini!!

Sindiket licik menjerat anak gadis bumiputera Sarawak

Terdapat sindiket tertentu di negeri ini yang cuba menjerat anak-anak gadis bumiputera di Sarawak. Sindiket ini menjadikan mereka itu sebagai ‘keldai dadah’.

Dalam kes terbaharu ini seorang pelajar kolej universiti swasta berusia 19 tahun dipercayai diperalatkan oleh teman lelaki yang baru dikenalinya.

Teman lelaki tersebut dipercayai memperalat pelajar naif tersebut untuk mengambil bekalan dadah di Pejabat PosLaju Kuching. Kejadian 30 September ini menggemparkan penduduk bandar raya kerana ia melibatkan dadah jenis ganja seberat 1.5 kilogram.

Pendedahan modus operandi  yang memperalatkan  gadis naif dan mudah diperdayakan ini didedahkan dalam satu sidang media Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mazlan Mansor.

Dalam sidang media tersebut,  didedahkan bahawa  kebanyakan gadis yang menjadi mangsa tidak tahu mereka diperalatkan.  Mereka tidak tahu-menahu barangan  atau bungkusan kurier yang diambil dari pusat mel atau pejabat pos itu sehingga ditahan. 

Cerita Duka Mangsa

Teman lelaki meminta mangsa tersebut mengambil bungkusan dengan alasan  menunggu di kereta sahaja. 

Selebihnya, apabila ditahan polis barulah gadis  itu  sedar  bahawa beliau diperalatkan oleh teman lelakinya. 

Bayangkan,  seorang anak gadis yang sentiasa dihantar pergi dan balik oleh ibu bapa ke kolej universiti, sentiasa rapat bersama keluarga dapat diperdayakan oleh  ahli sindiket  tersebut yang ternyata terlatih dan licik.

Dipercayai ahli sindiket ini amat pintar dalam  soal ini, malah mengaku bujang selain mengaku sebagai pelajar di institusi pengajian tinggi tempatan kepada gadis tersebut.

Namun hakikatnya,  kesemuanya merupakan  pembohongan kepada mangsa semata-mata untuk mendekati mangsa. Demikian kata ahli keluarga mangsa yang ditemu bual SarawakVoice.

Kenaifan gadis tersebut diambil kesempatan oleh sindiket dadah. Di satu sisi yang lain, latar belakang gadis itu sendiri tidak terdesak dalam soal kewangan kerana keluarganya golongan berada, menceburi pelbagai perniagaan besar  untuk sekian lama dan sering kali  bersama keluarga melancong ke luar negara setiap tahun.

Angka yang Membimbangkan Polis

Menurut Pesuruhjaya Polis Sarawak  sehingga kini sudah ada  tujuh kes gadis tempatan berusia 19 hingga 21 tahun ditahan  apabila diperdayakan  agar mengambil kurier berisi dadah atas arahan teman lelaki di negeri  Sarawak.

Situasi ini agak membimbangkan menurut beliau yang dikenali sebagai tegas dalam membanteras jenayah di Sarawak.  Sebelum ini, Datuk Mazlan pernah menjadi Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Risikan Operasi di Bukit Aman.

Justeru, beliau menasihati ibu bapa supaya sentiasa mengawasi tingkah laku anak-anak gadis mereka, termasuk dengan siapa pun mereka berkawan agar tidak menjadi mangsa.

Sabitan Mahkamah

Kini terdapat purata 18 individu ditahan setiap hari di Sarawak. Bukankah ini membimbangkan ibu bapa dan ahli masyarakat kita?  Kesemua ini ditahan atas pelbagai kesalahan membabitkan penyalahgunaan dan pengedaran dadah.

Terdapat 5,582 tangkapan membabitkan pelbagai kesalahan serta RM2.7 juta nilai harta milik pengedar disita direkodkan sepanjang tahun lalu.

Penguatkuasaan undang-undang di bawah Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya dan positif mengambil bahan terlarang turut dilaksanakan.

Statistik, Wakil Rakyat dan Kementerian


Namun persoalannya ialah  berapa ramai pengedar dadah disabitkan hukuman gantung di mahkamah Sarawak? Daripada hasil tangkapan tersebut berapa ramai ahli sindiket ditangkap dan dipenjarakan? 

Soalan ini, sewajarnya ditanya oleh wakil-wakil rakyat di Sarawak yang kini memenuhi 82 kerusi di Dewan Undangan Negeri Sarawak.

Masyarakat dan masa depan rakyat negeri Sarawak akan rosak sekiranya kes dadah tidak diperangi secara besar-besaran.  Hakikatnya, dadah masih lagi musuh nombor satu negara.

Bagaimanakah  pula untuk menangani membela dan memberikan rawatan trauma kepada gadis sebagai mangsa sindiket ini yang tidak bersalah tetapi terpaksa disumbat di penjara sementara menanti tarikh perbicaraan?

Bagaimana pula dari segi  kesan trauma kepada keluarga gadis yang  menjadi mangsa sindiket ini? Apakah langkah diumumkan oleh Kementerian Wanita, Kebajikan dan Kesejahteraan Masyarakat bagi melihat serius hal seumpama ini? Sudahkah  berjumpa dengan ahli keluarga mangsa-mangsa tersebut?

Dalam situasi ini keluarga mangsa perlu sokongan moral daripada semua pihak untuk berdepan hari-hari duka mereka. – Sarawakvoice






Labels: semasa

TERIMA KASIH SUDI BACA Sindiket licik menjerat anak gadis bumiputera Sarawak. TOLONG SHARE...!

https://telegram.me/joinchat/C6A73gqgSPgew3r9ovpDxg Chat Conversation End



Back To Top