Laman Portal berita Semasa Dan terkini!!

Innalilah Kemalangan Ngeri Yang Mengorbankan Beberapa Nyawa Termasuk Cikgu Dan Anak Kecil

Al- Fatihah. SABAK BERNAM - Suasana pilu menyelubungi lokasi kemalangan apabila seorang mangsa yang menahan kesakitan masih mampu meriba anaknya buat kali terakhir selepas mereka terlibat dalam kemalangan di Kilometer 75 Jalan Klang-Teluk Intan, dekat Sekinchan, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, mangsa, Norazila Kamarudzaman, 28, yang mengalami patah lengan kiri sempat mendakap erat anaknya, Nur Qaireen Khalisya Mohamad Anuwar, berusia enam bulan lalu meletakkan jenazah anaknya di riba.
 
Di hadapan Norazila, seorang lagi anak perempuannya yang masih belum dikenapasti identitinya itu terbaring dengan kesan kecederaan dialami selepas kereta Proton Perdana yang dipandu suaminya, Mohammad Anuwar Daud, 31, bertembung dengan sebuah kereta Produa Alza.

 
Kemalangan dua kenderaan itu turut mengakibatkan pemandu kereta Produa Alza, Mohd Faizuri Ibrahim, 33, yang juga seorang guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Harun, Tanjong Karang, meninggal dunia di tempat kejadian.

Ibu mangsa, Hafsah Supardi, 66, berkata, dia mengetahui anaknya, Mohammad Anuwar bersama menantu dan cucunya itu terlibat dalam kemalangan selepas anak sulungnya, Kamal, 42, memaklumkan kejadian itu.
 
“Makcik dan suami terus ke sana, tak sangka tengok anak (Mohammad Anuwar) dah berlumuran darah,” katanya.

Hafsah berkata, dia yang tinggal berjiran dengan Mohammad Anuwar di Tali Air 3 Sekinchan sempat bertandang ke rumah anak lelakinya itu dan bermain dengan cucu-cucunya itu, malam kelmarin.
 
“Malam tadi (kelmarin), Makcik datang ke rumah (Mohammad) Anuwar tengok cucu. Sempat jugalah makcik dokong arwah (Nur Qaireen).

“Tak sangka, itulah kali terakhir makcik dapat cium dan tengok gelagatnya sebelum dia pergi meninggalkan kami buat selama-lamanya,” katanya sebak.

Suaminya, Daud Ahmad, 67, berkata, kejadian berlaku ketika Mohammad Anuwar yang juga kakitangan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sabak Bernam bersama menantu dan empat cucunya itu dalam perjalanan dari rumah mereka menuju ke Sungai Besar.
 
“Setahu saya dia (Anuwar) hantar anak-anaknya di rumah pengasuh dan ibu mertuanya. Lepas tu, hantar Norazila (kakitangan di Pejabat Daerah dan Tanah Sabak Bernam) sebelum terus ke tempat kerjanya,” katanya.

Daud memberitahu, perasaannya sayu sebaik dia dan isteri tiba di tempat kejadian apabila Anuwar bertanya tentang keadaan isteri dan anak-anaknya selepas mereka terlibat dalam kemalangan.

 
“Dia (Anuwar) cakap mana anak aku…mana anak aku? Saya tak dapat tahan air mata bila teringat kata-katanya yang cari anak dan isterinya yang telah pun dibawa ke hospital,” katanya.

Katanya, dia kemudiannya mengekori Mohammad Anuwar selepas anak keempat daripada enam beradik itu dibawa ambulans ke Hospital Tanjong Karang.
 
“Saya dapat tahu cucu bongsu meninggal dunia di tempat kejadian lagi. Tapi saya macam tak percaya, hinggalah bila sampai di hospital saya terima maklumat Nur Qaireen telah meninggal dunia,” katanya.

Daud memberitahu, tiga lagi cucunya itu dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut.
 
Guru Penolong Kanan SMK Dato’ Haron, E’Ajis Jaafar berkata, jenazah Allahyaraham Mohd Faizuri yang berasal dari Terengganu akan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tebuk Pulai.

“Pihak sekolah akan membantu dari segi pengurusan jenazah mangsa dan kita menanti kepulangan isteri dan anak-anaknya yang kini (sehingga jam 11 tengah hari semalam) berada di Kota Bharu, Kelantan.

 
“Kami dapat maklumat, isteri mangsa yang juga seorang pensyarah di sebuah kolej di Sabak Bernam hadiri majlis kenduri keluarga terdekat di sana masih menunggu pesawat yang dijangka berlepas jam 1 tengahari (semalam),” katanya.
Rakan rapat Allahyarham, Mohd Afindi Suaid, 31, berkata, dia mengenali arwah sejak 2009 selepas dia ditempatkan di sekolah sama dengan arwah yang dua tahun lebih awal berkhidmat di sekolah berkenaan.

Beliau berkata, kali terakhir dia bertemu arwah seminggu sebelum cuti sekolah lalu dan mereka keluar bersama-sama ke sebuah bank.

 
Katanya, dia mengalami beberapa peristiwa pelik sebelum kejadian itu dan ingin bercerita dengan arwah, namun hasrat itu tidak kesampaian.

“Dua, tiga hari ni macam-macam peristiwa saya alami. Saya pegang cawan tiba-tiba terlepas jatuh ke lantai, isi air susu dalam botol pun terjatuh dan kaki tersepak pada bucu katil.
 
“Memang saya ingat nak cerita dengan dia benda pelik yang saya alami, nak tanya apa petandanya… tapi tak sempat, bila dapat tahu dia (Mohd Faizuri) dah terlibat dalam kemalangan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Nor Azmi Isa berkata, siasatan awal mendapati pemandu Produa Alza menghala ke Tanjong Karang gagal mengawal kenderaannya lalu terbabas ke arah bertentangan.
 
“Pada masa sama, Proton Perdana menghala ke Sungai Besar tidak sempat membrek dan mengelak kenderaan yang datang dari arah bertentangan hingga mengakibatkan Produa Alza terbalik di bahu jalan,” katanya.

Beliau berkata, mangsa yang memandu bersendirian Produa Alza tersepit di tempat duduk pemandu dan berjaya dikeluarkan pasukan bomba dan penyelamat,” katanya.
 
Beliau berkata, pemandu Produa Alza dan bayi yang mengalami cedera parah meninggal dunia di tempat kejadian, manakala bapa bayi mengalami cedera di lutut dan ibu bayi patah lengan kiri sementara ketiga-tiga anak pasangan Proton Perdana tidak dikenalpasti identiti mereka dirujuk di Hospital Sungai Buloh.
“Kes dikendalikan Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Nur Amalina Abdul Hamid mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.
 
Norazila yang mengalami kesakitan dalam kemalangan itu sempat mendakap dan meriba anaknya yang telah meninggal dunia dan menatap seorang lagi anak perempuannya yang terbaring di bahu jalan.
 
Mangsa maut yang memandu Produa Alza gagal mengawal kenderaannya lalu terbabas dan terbalik ke arah bertentangan.

Kredit : Sumber Gambar dr Whatsapp Family Cucu cicit Atok Jarah & Cucu Cicit TokWe & sahabat arwah cikgu Faizuri



https://www.facebook.com/208694619607984/photos/a.208731059604340.1073741828.208694619607984/212190655925047/?type=3&theater



Labels: semasa

TERIMA KASIH SUDI BACA Innalilah Kemalangan Ngeri Yang Mengorbankan Beberapa Nyawa Termasuk Cikgu Dan Anak Kecil. TOLONG SHARE...!

https://telegram.me/joinchat/C6A73gqgSPgew3r9ovpDxg Chat Conversation End



Back To Top