Kuala Lumpur: Mengapa sampai ada kambing yang dikorek biji mata, dipatahkan tengkuk dan mulut dirobek? Itu persoalan yang menyebabkan pemilik Wasilah Farm, di Kampung Tasek Alai, Gemerih, Segamat, Ariffin Sabirin, 47, buntu.
Sejak Oktober 2015 sehinggalah pada 8 Mac lalu, 220 kambing yang dipelihara mati, kebanyakannya dalam keadaan mengerikan seperti itu sehingga terpaksa menanggung kerugian ratusan ribu ringgit.
Menurut Ariffin, pada awalnya dia menyangka kambing peliharaannya mati kerana sakit atau dijangkiti virus.
“Pemeriksaan awal mendapati kambing-kambing ini mungkin terkena penyakit seperti jangkitan kuman dalam darah. Selepas itu semua kambing diberi suntikan vaksin.
“Bagaimanapun kejadian kambing mati berlaku berterusan hampir setiap hari dan cara kematiannya agak mengerikan.
“Ada antara kambing yang mati dipatahkan tengkuknya, dikorek biji mata, malah bahagian mulutnya seperti dimakan sehingga tinggal rahang. Lebih pelik apabila bedah siasat dijalankan, tiada setitik darah pun dalam badan kambing itu,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, di sini, hari ini.
Menurut Ariffin, kambing mati bermula setelah dua bulan ladang ternakannya, Wasilah Farm, beroperasi.
“Tanah menempatkan kambing itu adalah milik Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Johor. Dengan sokongan pihak berkuasa, saya diberi hak guna tanah itu atas tujuan ternakan dan pembangunan sosio ekonomi daerah Segamat.
“Ia mula beroperasi pada Ogos 2015, namun sekitar Oktober 2015, setiap hari kami dapati pasti ada dua atau tiga ekor kambing yang mati. Kejadian itu berlarutan sehinggalah pada 8 Mac lalu dengan kebanyakannya mati dalam keadaan mengerikan,” katanya.
Ariffin berkata, sebagai ikhtiar, dia mencuba meminta bantuan daripada pengamal perubatan Islam Katanya, pemeriksaan di kawasan ternakan kambingnya menemui barangan mencurigakan seperti paku yang dibalut dalam kain hitam, taring harimau yang dibalut dengan kain merah, segumpal rambut serta tujuh batang kayu yang dikenali sebagai Kayu Patah Pinggang dalam kalangan bomoh sihir.
“Saya, keluarga dan pekerja ladang tersebut turut terkena tempias apabila ada kami mengalami penyakit misteri.
“Saya dan keluarga muntah-muntah selama tiga hari. Ubat daripada doktor tidak mampu merawat penyakit ini. Apabila minta bantuan pengamal perubatan Islam, baru kami beransur pulih. Ada juga antara pekerja saya yang berhari-hari demam tak kebah,” katanya.
Bimbang dengan keselamatan keluarganya, Ariffin mengambil keputusan untuk tarik diri daripada mengusahakan ternakan kambing itu dan menjual kesemua kambing yang tinggal.
“Saya anggap bukan rezeki saya untuk mengusahakan perniagaan ini. Mungkin Allah mahu beri saya rezeki lain di masa depan. Sebelum ada kejadian yang tak diingini berlaku pada keluarga, saya fikir lebih baik jika saya tarik diri. Mungkin perkara itu yang dimahukan oleh orang yang tidak bertanggungjawab menghantar sihir kepada kami,” Katanya.
Sebelum kejadian, Ariffin memelihara 400 kambing dan baki kambing yang masih hidup sudah dipindahkan ke tempat yang lebih selamat pada Khamis lalu.
“Saya anggarkan sebelum 31 Mac, kambing-kambing ini habis dijual. Manakala bangunan di kawasan tanah tersebut saya wakafkan ke sekolah tahfiz Maahad Ibnu Mas’od,” katanya.
Labels:
kejam
TERIMA KASIH SUDI BACA kambing yang mati dipatahkan tengkuknya, dikorek biji mata, malah bahagian mulutnya seperti dimakan sehingga tinggal rahang..DISIHIR. TOLONG SHARE...!