Wanita bergelut dengan babi
KUALA PILAH - Seorang pesara kerajaan cedera di kedua-dua tangan akibat bergelut dengan seekor babi di kebun getah Kampung Orang Asli Chergun, Tengkek, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira 9 pagi itu, mangsa, Jumiah Suhut, 60, patah pergelangan tangan kanan dan dua jari kanan, selain jari kiri mengalami kecederaan serius sehingga perlu pembedahan.
Adik ipar mangsa, Mustafa Baharuddin, 53, berkata, sememangnya rutin harian kakak iparnya yang tinggal di Kampung Orang Asli Guntur menoreh getah di kebun berkenaan.
Ketika kejadian, katanya, mangsa terdengar bunyi salakan seekor anjing tidak jauh dari kawasan kebun itu.
“Dia yang mahu melihat apa berlaku, terus mengikut arah bunyi salakan tersebut.
“Setibanya di lokasi berkenaan, kak Jumiah ternampak seekor anjing sedang mengejar seekor babi hutan sebesar anak lembu," katanya.
Menurutnya, haiwan berkenaan mungkin ternampak kelibat Jumiah dan terus meluru ke arah mangsa sebelum pergelutan berlaku.
“Pada awalnya, babi itu mahu mengigit perut kak Jumiah, tapi dia sempat menahan dengan menggunakan kedua-dua tangannya sehingga mengalami kecederaan serius,” katanya ditemui di Kampung Guntur, di sini, semalam.
Menurut Mustafa, Jumiah sempat menetak hidung babi itu dengan menggunakan parang dan menyebabkan babi itu lari ke hutan.
Bagaimanapun, menurutnya, mujur kakak iparnya itu ditemui jiran yang menoreh di kebun bersebelahan setelah mendengar suara meminta tolong.
Katanya, Jumiah kemudian dibawa keluar dan dihantar ke Klinik Kesihatan Padang Lebar sebelum dirujuk ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) di sini.
Mustafa berkata, Jumiah kini ditempatkan di wad lapan HTAN untuk rawatan.
http://www.sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/wanita-bergelut-dengan-babi-1.621985
Labels:
semasa
TERIMA KASIH SUDI BACA pesara kerajaan cedera di kedua-dua tangan akibat bergelut dengan seekor babi . TOLONG SHARE...!