Laman Portal berita Semasa Dan terkini!!

Patutlah ada budak yang terjun tingkat 17 - Perkongsian Guru Sekolah Ini Membuatkan Ibu Bapa Menitiskan Air Mata

“MADI pergilah tolong gosok-gosok sikit budak tu. Kasihan dah akak tengok,” kata Sarana, guru setengah baya yang mengajar di kelas yang sama denganku.

Dia menahan saya ketika berjalan menuju ke kelas. Nampak wajah gusar beliau yang jelas melalui kerut dahinya yang bergaris-garis itu. Meski dalam payah mengusung buku latihan murid yang meninggi tetap juga dia mahu berbicara.


“Kenapa kak? Siapa?” soal saya berhenti mengadap beliau.

“ Hafiz tu lah,” balasnya pantas.

Kini giliran dahi saya pula yang berkerut. Mendengar nama seorang murid yang memang cukup terkenal dikalangan guru-guru yang mengajarnya.

Seorang murid lelaki tahun 1 yang namanya memang sering disebut-sebut. Satu demi satu keluhan-keluhan guru yang mengajarnya melintas di hadapan kotak mindaku.

Dia tak boleh duduk diam.

Dia kerap mengganggu rakan.

Dia taknak buat latihan

Dia kerap berjalan sewaktu guru mengajar.

“Dah kenapa kak? Markah dia teruk ke kak?” teka saya yang dipengaruhi oleh keluhan-keluhan dalam kotak memori saya.

Kebiasaannya begitulah untuk anak-anak yang menghadapi masalah menyesuaikan diri dengan pengajaran dan pembelajaran.

Murid-murid yang menghadapi masalah ini akan berakhir dengan keputusan peperiksaan yang teruk.

Nombornya juga corot.

Tidak dinafikan ada juga tetap cemerlang meskipun berhadapan dengan masalah ini. Tergantung kepada bagaimana proses dan cara dalaman bagaimana seseorang murid itu belajar.

“ Bukan,” nafi guru tersebut.

“Markah dia ok lah kalau nak banding dengan perangai dia dalam kelas tu. Subjek akak dia dapat A kali ini,” sambungnya lagi.

“ Dah tu kenapa kak?” soal saya kehairanan.

“ Macam ni,” ujarnya sambil meletakkan timbunan buku latihan murid-muridnya di atas benteng kaki lima bangunan sekolah.

Merehatkan sedikit tangannya yang lenguh kerana menanggung beban berat itu sekian lama.

“ Tadi akak nampak dia buang kertas jawapan yang telah dipulangkan kepadanya ke dalam tong sampah. Bila akak tanya kenapa buang. Dia kata sebab tak dapat A. Akak suruh dia keluarkan balik dari dalam tong sampah.

“Bila akak tengok semua kertas tu dapat B. Markah 70 lebih tu kira ok lah bagi akak. Akak tanya kenapa dia buang. Kertas tu kena bawa balik. Tunjuk pada ibu atau ayah. Air mata dah bergenang-genang. Tiba-tiba dia menangis. Lepas dia berhenti menangis tu akak tanya lagi. Menangis lagi. Lama lepas tu, bila dia berhenti akak tanya semula. Baru dia bagitahu, mak taknak tengok kalau tak dapat A. Geram betul akak,

Saya berundur sedikit ke belakang apabila melihat rakan sejawat saya ini semakin emosi gaya cakapnya. Gerak tangan dan bahasa badannya sememangnya menunjukkan geram yang sunguh-sungguh.

“Patutlah ada budak yang terjun tingkat 17,tingkat 18, tingkat 19 sebab tak lulus periksa. Dulu kita dengar pelik, bila dah jumpa sendiri depan mata baru tahu kenapa berlaku macam tu. Mujur dia buang kertas periksa, kalau dia buat benda lain yang kita tak jangka, menyesal tak sudah jawabnya,” sambung beliau penuh emosi.

“Kita ni kadang-kadang memang geram juga masa-masa dia buat perangai dalam kelas tu, tapi bila tengok dia menangis tadi tu dengan kita–kita sebak,” ujar beliau lagi menyambung luahan ketidakpuashatiannya.

“Gi lah Madi. Mu gi pujuk-pujuk sikit. Kito tokleh mendo-mendo goni. Sat gi dengan kito-kito jerik,”
( Dialek kelantan)

Saya mengangguk-ngangguk faham. Memang jelas kelihatan airmata sang guru juga sudah mula bertakung. Menunggu masa tumpah. Mungkin kerana segan cepat-cepat diusung kembali buku latihan murid –muridnya dan terus mengorak langkah menuju ke pejabat guru.

Saya menyambung langkah ke bilik darjah. Dari jauh sudah melihat anak-anak murid di dalam kelas terjenguk-jenguk di pintu kelas meninjau kehadiran guru. Bergegas mereka berlari ke tempat duduk apabila terlihat kelibat saya.

Masuk sahaja ke dalam kelas, satu demi satu wajah anak murid saya perhatikan.

Pada waktu ini saya berharap sangat agar setiap gejolak emosi dalam diri mereka dapat saya lihat dan rawat. Namun siapalah saya.

Bukan seorang superhero atau ahli nujum yang punya kuasa sakti meneroka hati dan perasaan orang lain.

Dari wajah mereka saya hanya melihat wajah suci tanpa dosa yang sentiasa menagih perhatian dari guru,ibu dan ayah. Persis wajah putera dan puteri saya di rumah.

Sebagai ayah ada kalanya saya juga turut keliru apa yang harus saya tekankan kepada anak saya. Samada apa yang perlu dibuat atau apa yang perlu di capai.

Menekankan apa yang perlu di capai selalunya menyebabkan anak-anak akhirnya belajar mencari helah menyembunyikan perbuatan mereka atau bertindak kasar. Asalkan hasrat yang diingini tercapai.

Merampas mainan dengan kasar dari tangan adiknya yang masih kecil asalkan mainan itu dapat diperolehinya. Sedangkan yang perlu diasuh pada waktu itu adalah tindakannya mengambil mainan tersebut.

Perlu berlemah-lembut dengan adik yang masih kecil atau menggantikan mainan ditangan adik dengan mainan yang lain.

Kerap juga meninggikan suara menyuruh anak membaca dengan lancar sedangkan yang perlu diasuh dan didisiplinkan adalah budaya membaca sekerap yang mungkin yang akhirnya akan melancarkan bacaannya.

Kita menekankan mereka supaya mesti mendapat A dan cemerlang tetapi tidak menekankan apa yang perlu dibuat untuk cemerlang.

Ya, mungkin juga boleh berhasil namun akhirnya kita akan melihat anak- anak hanya akan berprestasi di bawah kawalan kita dan gagal mengekalkan kecemerlangan apabila berada jauh dari pemantauan ibubapa.

Saya belajar dari Hafiz. Anak murid yang pada saya memerlukan banyak bimbingan dari guru-guru yang mengajarnya. Namun hari ini runtuhan emosi Hafiz telah membimbing saya untuk melihat apakah keperluan yang perlu saya titik beratkan dalam mendidik anak saya di rumah.

Begitu juga dengan askar-askar kecil disekolah ini yang punya warna-warni kehidupan tersendiri.

Adakalanya kami mencorak mereka dan tidak kurang juga ada waktunya mereka mencorak peribadi kami sebagai guru. Terima kasih daripada sang guru buat mujahid dan mujahidah kecil dalam dunia pendidikan.

Cikgu Asmadi Abdul Samad
General Briged Tempur Tahun 1



https://www.facebook.com/208694619607984/photos/a.208731059604340.1073741828.208694619607984/212190655925047/?type=3&theater



Labels: semasa

TERIMA KASIH SUDI BACA Patutlah ada budak yang terjun tingkat 17 - Perkongsian Guru Sekolah Ini Membuatkan Ibu Bapa Menitiskan Air Mata . TOLONG SHARE...!

https://telegram.me/joinchat/C6A73gqgSPgew3r9ovpDxg Chat Conversation End



Back To Top