Kuala Lumpur: Pengendali laman sosial yang didakwa mengambil alih akaun Facebook milik pelakon Hafidz Roshdi tampil memberi penjelasan sekali gus menafikan segala tuduhan yang dilemparkan kepadanya.
Individu yang dikenali sebagai Norman Danish, 28, yang juga Pengarah Eksekutif Misi Viral berkata, dia kesal apabila Hafidz meletakkan kesalahan terhadap dirinya sedangkan perkara itu dibuat atas keputusan bersama.
"Apabila Hafidz menyebut nama saya dalam program Melodi baru-baru ini dan perkara sama disiarkan dalam akhbar ini semalam, sudah sampai waktunya saya tampil menjelaskan perkara sebenar.
"Saya mula mewujudkan dan mengendalikan akaun Facebook atas nama Hafidz Roshdi sekitar Februari atau Mac lalu. Sejak itu saya memuat naik segala gambar dan aktiviti membabitkan Hafidz sehinggalah jumlah 'likes' mencecah hampir 200,000.
"Sebagai pengendali akaun saya perlu dibayar seperti mana yang dilakukan artis lain tetapi Hafidz tidak berbuat sedemikian. Disebabkan itu saya memuat naik iklan bagi mendapatkan pendapatan," katanya kepada Harian Metro.
Norman berkata, dia sedia menutup atau menyerahkan akaun itu sekiranya Hafidz bersetuju membayar hasil usaha dan kerjanya selama ini.
Menurut Norman, dia mula meminta bayaran sejak tiga bulan lalu namun Hafidz tidak memberikan sebarang reaksi.
"Memang betul saya menggunakan namanya tapi itu atas persetujuan bersama. Kalau dia mengharapkan saya menutup akaun itu, saya juga mengharapkan dia membayar saya. Berapa jumlah yang saya minta, itu kami perlu berbincang.
"Saya ada menghantar mesej kepadanya untuk berjumpa dan menyelesaikan perkara ini tetapi dia tidak memberikan sebarang maklum balas. Jadi saya tunggu saja," katanya.
Norman turut menafikan dakwaan Hafidz dia sengaja membuang pelakon drama Tundukkan Playboy Itu sebagai salah seorang pengendali akaun.
"Hafidz mula bertanya kepada saya kenapa dia sudah tak menjadi pengendali akaun itu pada 8 Oktober lalu. Kalau nak tahu Hafidz yang buang dirinya sendiri.
"Sama ada atas kesilapan sendiri atau tidak disengajakan, itu saya tak pasti. Saya adaminta alamat emel bagi tujuan menjadikan dia pengendali akaun semula, tapi tidak berjaya," katanya.
Sementara itu Hafidz ketika dihubungi memaklumkan dia sudah membuat laporan polis pada 22 November lalu di Balai Polis Seksyen 6, Shah Alam.
"Tujuan saya membuat laporan polis adalah untuk menghentikan penggunaan akaun Facebook lama itu. Laporan itu akan memudahkan pihak Cyber Security Malaysia (CSM) menjalankan tugas mereka.
"Saya sudah mendapatkan nasihat daripada pihak CSM berhubung perkara ini. Sekarang saya menunggu jawapan dan maklum balas daripada mereka,” katanya.
Semalam Hafidz menerusi laporan Harian Metro meluahkan rasa kesal apabila akaun Facebook miliknya diambil alih individu tidak bertanggungjawab sehingga mendatangkan pelbagai masalah kepada dirinya.
Hafidz mendakwa individu yang dikenalinya itu memuat naik iklan produk yang secara terang-terangan melanggar kontraknya sebagai duta satu produk kecantikan.
Labels:
hiburan
TERIMA KASIH SUDI BACA "Apabila Hafidz menyebut nama saya dalam program Melodi baru-baru ini dan perkara sama disiarkan dalam akhbar ini semalam, sudah sampai waktunya saya tampil menjelaskan perkara sebenar.- Norman Danish. TOLONG SHARE...!