Laman Portal berita Semasa Dan terkini!!

Adakah ia disebabkan oleh SANTAU ?? Salman mengalami muntah darah. Darah pekat!

MUNTAH DARAH : Adakah ia disebabkan oleh SANTAU ??
Salman, 37 tahun, seorang jurutera, kerap mengambil pil tahan sakit kerana masalah sakit tulang belakang yang dialaminya. Malam tadi, Salman mengalami muntah darah. Darah pekat! Keluarganya yang kerisauan segera membawa Salman berjumpa dengan pakar rawatan alternatif.

Menurut pakar tersebut, Salman telah terkena SANTAU! Ada manusia khianat telah menyantau Salman kerana iri hati dengan kebahagiaan dan pencapaian Salman. Maka,
Berbotol-botol air jampi dibekalkan.
Berjela-jela jampi serapah dibacakan.


Temujanji seterusnya dengan pakar perubatan alternatif tersebut pun diatur.

Pulanglah Salman dan keluarganya dengan perasaan gundah-gulana memikirkan siapakah insan yang tidak berhati perut itu yang sanggup menyantau Salman….
Dalam bidang perubatan, ‘muntah darah’ atau hematemesis adalah suatu keadaan yang disebabkan pendarahan pada bahagian salur pencernaan di bahagian atas iaitu mulut, esofagus, perut dan duodenum (bahagian atas usus kecil).
Darah yang keluar melalui muntah mempunyai beberapa warna:
a) Darah merah (fresh blood): 


Darah yang keluar adalah cair dan berwarna merah pekat. Ini menunjukkan keadaan seseorang itu amat kritikal ! Jumlah darah yang keluar bergantung kepada bahagian yang mengalami pendarahan. Segera dapatkan rawatan kecemasan di hospital.


b) Darah kehitaman (coffee ground blood):
Ini menandakan terdapat luka di dalam salur pencernaan yang telah berlaku untuk beberapa ketika. Darah tersebut telah bercampur dengan asid di dalam salur pencernaan dan menyebabkan darah bertukar menjadi warna kehitaman. Keadaan ini tidak boleh dibiarkan kerana ia boleh menyebabkan penyakit menjadi lebih kritikal.


Punca-punca muntah darah :

1) Darah dalam muntah ada kalanya boleh disebabkan oleh darah yang ditelan, seperti dari pendarahan di dalam mulut, pendarahan hidung, atau batuk kuat. 

2) Ulser Perut (Peptic ulcer) :

Luka pada lapisan dinding salur pencernaan boleh menyebabkan pendarahan. Luka boleh berlaku pada bahagian dinding perut atau bahagian atas usus kecil (duodenal ulcer). Saluran pencernaan kita merembeskan asid. Asid yang berlebihan akan menghakis dinding saluran pencernaan dan menyebabkan ulser. Sistem pertahanan badan yang lemah juga boleh memudahkan asid menghakis bahagian salur pencernaan. Ini boleh berlaku di kalangan perokok dan mereka yang kerap mengalami stress berlebihan.


Antara penyebab ulser perut adalah seperti berikut:

a) Ulser perut kebiasaannya disebabkan oleh Bakteria helicobacter pylori. Dianggarkan 70 hingga 90 peratus pesakit ulser mempunyai bakteria ini. Bakteria ini mengeluarkan beberapa bahan toksin seperti ammonia, protease dan cytotoxin yang melukakan lapisan dalaman perut.


b) Ulser perut juga boleh disebabkan oleh kesan jangka panjang pengambilan ubat tahan sakit (Non-steroidal anti-inflammatory drugs, NSAIDS). Ubatan ini biasanya diambil untuk merawat masalah sakit sendi (osteoarthritis, gout) dan sakit tulang. Risiko pendarahan akibat pengambilan ubatan ini akan meningkat jika :

- Pesakit berusia lebih 60 tahun.
- Ubatan diambil untuk jangka masa panjang.
- Terdapat juga kombinasi rawatan menggunakan steroid untuk merawat penyakit yang lain.


c) Merokok : Tabiat merokok akan meningkatkan risiko mengalami ulser perut sebanyak dua kali ganda. Toksin pada rokok menyebabkan sistem imuniti pada bahagian lapisan perut menjadi lemah. Ini memudahkan asid untuk menghakis lapisan saluran percernaan.

d) Stress : Tekanan yang berlebihan dan berterusan boleh merendahkan sistem imuniti tubuh.

e) Penyakit kronik: Penyakit paru-paru yang kronik, cystic fibrosis, sirosis hepar dan kegagalan buah pinggang boleh menyebabkan muntah darah.
Antara punca-punca lain penyebab muntah darah adalah seperti radang pada saluran esofagus, kanser perut dan esophageal varices.
Dalam apa jua keadaan, fenomena muntah darah tidak boleh dipandang mudah. Ia tidak wajar hanya dianggap sebagai SANTAU.

Dalam kebanyakkan agama, memang jelas dinyatakan tentang kewujudan alam ghaib. Tidak dapat dinafikan tentang kewujudan ilmu sihir dan kesan mudharat kepada orang yang disihir. Dalam agama Islam sendiri, sihir jelas diceritakan di dalam AlQuran telah berlaku pada zaman Nabi Musa. 

Dalam banyak keadaan, gejala yang dialami akibat disihir saling tidak tumpah seperti gejala penyakit klinikal. Oleh yang demikian, adalah penting untuk mendapatkan khidmat rawatan doktor profesional bagi memperolehi diagnosis dan rawatan yang sewajarnya bagi keadaan yang dialami oleh seseorang pesakit itu. 

Pada masa yang sama, jika perlu, tidak salah untuk mendapatkan khidmat rawatan alternatif. Tetapi, jangan sesekali mengabaikan pelan rawatan yang telah diatur oleh pihak doktor.
Admin: Nigella sativa



Root of Science



https://www.facebook.com/208694619607984/photos/a.208731059604340.1073741828.208694619607984/212190655925047/?type=3&theater



Labels: kesihatan

TERIMA KASIH SUDI BACA Adakah ia disebabkan oleh SANTAU ?? Salman mengalami muntah darah. Darah pekat!. TOLONG SHARE...!

https://telegram.me/joinchat/C6A73gqgSPgew3r9ovpDxg Chat Conversation End



Back To Top