Dibunuh angkara wang perkahwinan
Kudat: Lelaki ditemui mati dengan lehernya hampir terputus manakala
isteri dan tiga lagi anaknya parah selepas diserang oleh lelaki warga
asing menggunakan parang di rumah tidak bernombor berhampiran Kampung
Narandang, di sini, semalam.
Dalam kejadian 1.50 tengah hari itu,
mangsa Jotin Yojunpin, 42, ditemui terbaring di atas lantai rumahnya
dengan keadaan berlumuran darah dan lehernya hampir terputus dipercayai
dikelar menggunakan parang.
Turut
ditemui di dalam rumah berkenaan adalah isterinya, Saulin Maridik, 36,
yang parah di bahagian tangan, kepala dan leher sementara tiga lagi anak
pasangan itu iaitu Suzianah, 17; Erna Salviani, 11; dan Natalia berusia
lima tahun mengalami kecederaan di badan dipercayai ditetak oleh suspek
terbabit.
Ketua Polis Daerah Kudat, Superitendan Douglas Nyeging
Taong berkata, susulan kejadian itu, polis kemudiannya menjalankan
gerakan memburu suspek sebelum berjaya menahannya kira-kira 500 meter
daripada lokasi kejadian di pada 11.30 pagi tadi.
"Polis menerima
maklumat berhubung kejadian ini pada 4.05 petang semalam, sebelum
sepasukan polis dikerahkan ke lokasi dan menemui mayat mangsa di lantai
rumahnya dengan keadaan berlumuran darah serta lehernya hampir putus
dipercayai dikelar menggunakan senjata tajam.
"Empat lagi ahli
keluarganya termasuk isteri turut parah dalam kejadian itu dan sudah
dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
"Susulan kejadian
berkenaan, polis kemudiannya menggerakkan usaha memburu suspek dan kita
akhirnya berjaya menahan lelaki warga asing berusia 21 tahun kira-kira
500 meter daripada lokasi kejadian ini," katanya ketika dihubungi, hari
ini.
Beliau berkata, menurut siasatan awal, kejadian itu berpunca
daripada perselisihan faham di antara mangsa dan suspek berkaitan wang
perkahwinan di antara suspek serta anak perempuan mangsa.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.