*Trumph puji ekonomi M'sia kata PM Najib*
*2016/11/28*
*Bharian.com.my*

PUTRAJAYA: Bakal Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, menyifatkan
ekonomi Malaysia sebagai amat bagus berdasarkan perkembangan 4.3 peratus
pada suku ketiga 2016, kata Datuk Seri Najib Razak.
Perdana Menteri
berkata, perkara itu dimaklumkan sendiri oleh Trump dua malam lalu
ketika mereka berbual menerusi telefon. "Secara kebetulan, saya berbual
dengan bakal Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, dua malam lalu.
"Beliau tanya mengenai keadaan ekonomi Malaysia, saya kata ekonomi kita
berkembang 4.3 peratus suku ketiga 2016. "Beliau kata `kalau begitu,
ekonomi Malaysia ini sangat baik. Pada saya, Amerika Syarikat berkembang
ekonominya satu peratus, saya hendak mencapai empat peratus'.
"Jadi,
itu reaksi spontan bakal presiden Amerika Syarikat," katanya dalam sesi
wawancara khas bersama media di Seri Perdana, hari ini. Perdana Menteri
berkata demikian sebagai mengulas dakwaan pihak tertentu kononnya
Malaysia di ambang kebankrapan walaupun ekonomi negara masih berkembang
4.3 peratus pada suku ketiga 2016 dan piawaian Bank Dunia mendapati
pengurusan ekonominya berada di landasan betul.
Najib berkata, dakwaan
oleh sekumpulan kecil itu tidak disokong fakta atau kenyataan sahih.
Oleh itu, katanya, penjelasan perlu dibuat kepada rakyat bahawa mereka
tidak boleh mempercayai apa yang tidak disokong dengan bukti. Perdana
Menteri berkata, adalah lebih bijak untuk mempercayai pihak tidak
berkepentingan seperti agensi penarafan, Bank Dunia, Tabung Mata Wang
Antarabangsa (IMF) dan Bloomberg kerana ulasan serta analisis mereka
lebih tepat berbanding dakwaan pihak bermotifkan politik.
"Saya baru
pulang daripada menghadiri persidangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik
(APEC). Di sana saya menemui wakil Moody's (agensi penarafan). Wakil
Moody's tidak menegur saya pun (mengenai ekonomi). "Kalaulah kita
menjurus kepada ekonomi yang akan bankrap, sudah tentu badan penarafan
seperti Moody's akan beritahu mereka melihat keadaan ini akan membawa
kepada kemudaratan kalau kita tidak lakukan sesuatu.
"Saya jumpa dengan
Christian Lagarde (Ketua Eksekutif IMF), beliau tidak pun membayangkan
Malaysia dalam keadaan krisis. Maknanya, apa yang berlaku bila ada
dakwaan kononnya kita akan jadi 'failed state', kita akan jadi bankrap,
ia semata-mata adalah serangan politik," katanya.