Sejak kebelakangan ini, pelbagai rawatan yang mendakwa membuang penyakit menerusi ‘pembedahan batin’ kembali popular bukan hanya dalam kalangan masyarakat luar bandar, malah turut menarik minat kumpulan berpelajaran tinggi.
Ada yang sanggup menempuh perjalanan beratus-ratus kilometer ke negeri lain selepas mendengar ada tempat menawarkan perubatan secara pembedahan batin.
Tunggu berjam-jam
Bukan setakat itu, ada yang sanggup menunggu berjam-jam dan berbelanja besar semata-mata mahu mendapatkan rawatan berkenaan.
Pendakwah bebas, Sharhan Safie, berkata mengikut Islam tiada istilah pembedahan batin bahkan ia adalah amalan yang dilarang agama.
“Dalam perubatan Islam, rawatan membuang penyakit menerusi pembedahan perlu menggunakan peralatan termasuk pisau bedah, bukannya hanya dengan membaca jampi serapah dan kononnya penyakit itu dikeluarkan serta dijelmakan dalam air atau telur.
“Dalam perubatan Islam tiada yang diistilahkan dengan bedah batin melainkan menggunakan bantuan jin,” katanya yang turut menegaskan bahawa amalan itu dimurkai Allah kerana menggunakan perantaraan jin.
Ini dinyatakan dalam firman Allah: “Dan bahawasanya ada beberapa lelaki di kalangan manusia meminta perlindungan kepada beberapa lelaki di antara jin, maka jin-jin itu akan menambahkan lagi mereka dosa dan kesalahan.” (Surah Jin, ayat 6)
Bedah batin ke atas Nabi Muhammad SAW
Beliau berkata, mengikut sejarah Islam pembedahan batin hanya berlaku dua kali terhadap Nabi Muhammad SAW iaitu ketika dadanya dibelah oleh malaikat Jibril pada zaman kanak-kanak serta dibasuh dengan air zam zam dan sebelum Baginda diangkat ke langit dalam peristiwa Israk Mikraj.
Pembedahan batin popular sekitar 1990-an berikutan sikap masyarakat sendiri terutama orang Melayu yang mudah percaya tanpa memikirkan dari mana datang dan keluarnya apa yang dikatakan ‘penyakit’ itu.
Pengamal perubatan menggunakan telur yang kononnya boleh menyedut penyakit dalam badan pesakit.
Hakikatnya, sebelum merawat pesakit, telur itu sudah dimasukkan jarum, benang, darah dan lubang halus yang dibuat pada telur ditampal lilin dengan tujuan menipu pesakit.
Sharhan berkata, mungkin ada yang mendakwa mustahil untuk perawat menipu dengan meletakkan benda-benda pelik jika telur itu dibawa dari rumah sedangkan semua itu boleh dilakukan menggunakan pertolongan jin.
Katanya, sama juga kes pengamal perubatan menipu pesakit dengan mengatakan penyakit keluar dan buktinya boleh dilihat dalam air di depan pesakit.
Jumhur ulama menolak sekeras-kerasnya penggunaan jin dan ia tidak termasuk dalam rawatan secara Islam kerana ia tidak bersandar nas.
Dipanggil ustaz tanpa ada pendidikan agama
Lebih membimbangkan apabila pengamal perubatan dipanggil ‘ustaz’ tanpa diselidik latar belakang sama ada mempunyai pendidikan agama dan lebih bahaya apabila ‘ustaz jadian’ ini mengaburi masyarakat menggunakan ayat al-Quran.
“Pembedahan batin juga dipelopori golongan ‘ustaz jadian’ yang tidak ada pendidikan agama dan semata-mata berniat untuk mendapatkan kemewahan dunia.
“Bidang perubatan alternatif adalah cara paling pantas untuk membuat duit.
“Oleh itu, kita perlu tahu ciri-ciri perawat iaitu beragama Islam, akil baligh, beramal dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah, tidak menggunakan asap, menutup aurat dan rawatan dilakukan dalam persekitaran baik termasuk keluarga perawat menutup aurat serta mematuhi ajaran Islam.
Selain itu, jampi dibaca menggunakan ayat al-Quran, tiada barangan pelik di rumah perawat seperti tengkorak, minyak burung, kain kuning dan bilik dalam keadaan gelap, perawat tidak bercakap takbur dan sombong.
Perawat tidak meminta ‘pengeras’ berupa binatang, tetapi jika tumbuhan seperti daun pokok tertentu dibolehkan untuk perubatan, selain tidak memberikan sebarang azimat, tangkal untuk dipakai atau bahan yang digunakan untuk mengasap rumah.
Perawat perubatan Islam juga tidak menuduh mana-mana pihak melakukan khianat terhadap pesakit dan tidak menilik nasib.
Sharhan berkata, manusia mempunyai dua unsur iaitu jasmani dan rohani. Jika penyakit jasmani seperti darah tinggi dan jantung, makanannya adalah ubat yang disyorkan doktor.
Penyakit rohani pula seperti hasad dengki, sihir, mengantuk dalam majlis ilmu dan malas melaksanakan ibadat, makanannya adalah solat, membaca al-Quran, bersedekah dan berbuat perkara baik.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati ketika memilih perawat kerana jika silap memilih perawat, seumur hidup merana dan jiwa tergadai.
“Sebelum berubat orang ramai perlu meneliti dulu akhlak perawat itu dengan bertanyakan jiran sekelilingnya.
“Lazimnya perawat songsang ini, tempat rawatan mereka dipenuhi orang luar bukannya masyarakat setempat kerana jiran sendiri tahu akhlak dan tabiat mereka,” katanya.
Manakala, berikut merupakan ulasan daripada pejabat Mufti Wilayah Persekutuan:
teknik-perubatan-yang-khurafat-dan-penuh-penipuan3
BEDAH BATIN, KAEDAH PERUBATAN YANG DIRAGUI
AL-KAFI LI AL-FATAWI : SOALAN 391 (22 SEPTEMBER 2016 M / 20 ZULHIJJAH 1437 H)
SOALAN:
Assalamualaikum wbt.
Terima kasih tuan atas ruang yg diberikan. Soalam saya adalah:
Apakah Hukum berubat dengan cara Bedah Batin? Terdapat kemusykilan kerana perawat ketika merawat meminta pesakit supaya mengucap dua kalimah syahadah. Tapi kaedah rawatannya iaitu bedah secara batin dikatakan bercanggah dengan Syarak kerana menggunakan bantuan Jin.
Harap tuan dapat menjelaskan tentang kemusykilan ini.
Sekian terima kasih
JAWAPAN:
Waalaikumussalam wbt,
Perubatan bedah batin ini diragui perbuatannya dan setakat ini dikenalpasti melibatkan penipuan dan khurafat. Pihak Jabatan Mufti Negeri Melaka telah mengeluarkan satu Garis Panduan Amalan Pengubatan Dan Perbomohan Menurut Islam menyatakan bahawa amalan bedah batin ini adalah dilarang dan tidak dibenarkan beramal kerana melibatkan pertolongan jin, dan fitnah. Rujuk http://www.muftimelaka.gov.my/jmm/pdf/Pengubatan_Islam_Perbomohan_Melaka.pdf
Kami bersetuju dengan pendapat tersebut dan sebaiknya masyarakat mengelakkan diri daripada mempercayai dan menggunakan khidmat bedah batin ini.
Wallahua’lam.
Pautan ke laman rasmi PMWP: https://goo.gl/sjkZhR
http://www.ohmymedia.cc
Labels:
agama
TERIMA KASIH SUDI BACA Bedah Batin: Teknik ‘Perubatan’ Yang Khurafat Dan Penuh Penipuan. TOLONG SHARE...!