Laman Portal berita Semasa Dan terkini!!

MENGAPAKAH DUNIA DIPENUHI YANG HARAM DAN LOGO HARAM ????peniaga non-muslim

Tadi ahli peniaga non-muslim datang ke pejabat saya. Dia menyatakan kehairanan mengapa Islam begitu mengelirukan. Banyak sangat yang diharamkan. Lalu dia menyebut contoh semasa. Dia menjemput saya berdialog dengan masyarakat bukan muslim di Perlis. Soalan beliau ini mengingatkan saya artikel lama saya pada tahun 2008. Saya mudah, sedikit tambahan dan ringkaskan semula artikel tersebut;

MENGAPAKAH DUNIA DIPENUHI YANG HARAM?
1. Dunia ini asalnya dipenuhi dengan yang halal, bukan yang haram. Segala yang ada di dunia ini diciptakan untuk manusia, kecuali beberapa perkara sahaja yang dilarang sebagai ujian ketaatan manusia kepada Allah, dan juga untuk kebaikan manusia. Sebab itu, umpamanya jika kita mengambil sekeping kertas dan menyenaraikan makanan dan minuman yang diharamkan Allah, maka ia terlalu sedikit. Barangkali tidak sampai satu muka kertas. Namun jika kita disuruh untuk menyenaraikan perkara-perkara yang dihalalkan, tentu tidak memadai, sekalipun beberapa puluh lembaran kertas. Maka sebab itu menjadi prinsip dalam Islam bahawa:

الأصل في الأشياء الإباحة والطهارة
“Hukum asal bagi setiap perkara adalah harus (boleh) dan bersih”.
Bukan hukum asalnya haram dan kotor. Maka berdasarkan prinsip ini, setiap makanan, minuman dan perbuatan boleh dilakukan selagi tidak ada dalil yang mengharamkannya. Bukan prinsip Islam, semuanya haram sehingga ada bukti halal. Cuma hanya dalam perkara ibadah, Islam melarang dilakukan apa-apa ucapacara ibadah sehingga adanya dalil bahawa itu diizinkan oleh nas-nas al-Quran dan al-Sunnah. Ini untuk menghalang agama rekaan dan penyalahgunaan nama Allah untuk rekaan sendiri.


2. Adapun dalam urusan harian, seseorang boleh makan dan minum atau lakukan apa sahaja selagi tiada bukti itu dilarang dalam Islam. Saya selalu umpamakan jika kita berjumpa dengan seekor binatang yang tidak diketahui jenisnya, tidak pula merbahayakan diri jika dimakan, maka -sekalipun namanya tidak diketahui- hukumnya halal dimakan. Inilah agama yang rahmat dan mudah. Firman Allah:
أَلَمْ تَرَوْا أَنَّ اللَّهَ سَخَّرَ لَكُمْ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ وَأَسْبَغَ عَلَيْكُمْ نِعَمَهُ ظَاهِرَةً وَبَاطِنَةً وَمِنَ النَّاسِ مَنْ يُجَادِلُ فِي اللَّهِ بِغَيْرِ عِلْمٍ وَلَا هُدًى وَلَا كِتَابٍ مُنِيرٍ 


(maksudnya) Tidakkah kamu memperhatikan bahawa Allah telah memudahkan untuk kamu apa yang ada di langit-langit dan yang ada di bumi, dan telah melimpahkan kepada kamu nikmatNya yang zahir dan yang batin. Dalam kalangan manusia ada yang masih membantah tentang Allah tanpa ilmu, tanpa petunjuk dan tanpa kitan yang menerangi? (Surah Luqman: ayat 20).
Juga firmanNya:

هُوَ الَّذِي خَلَقَ لَكُمْ مَا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا
(maksudnya) Dialah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi”. (Surah al-Baqarah: ayat 29).

Juga firmanNya:
وَسَخَّرَ لَكُمْ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا مِنْهُ إِنَّ فِي ذَلِكَ لَآَيَاتٍ لِقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ
(maksudnya) Dan Dia memudahkan untuk (kegunaan) kamu, segala yang ada di langit dan yang ada di bumi, (sebagai rahmat pemberian) daripadanya; Sesungguhnya semuanya itu mengandungi tanda-tanda (yang membuktikan kemurahan dan kekuasaanNya) bagi kaum yang berfikir. (Surah al-Jathiah: ayat 13).


DAERAH HALAL LUAS
3. Maka daerah halal dalam Islam teramat-amat luas, sementara daerah haram pula terlalu sempit dan sedikit. Jika ada pun yang diharamkan Allah seperti judi, babi dan arak adalah atas hikmah demi kebaikan manusia itu sendiri. Selain ia adalah ujian untuk melambangkan kepatuhan kepadaNya. Setiap perkara dan perbuatan adalah dibolehkan, kecuali jika ada nas yang mengharamkannya. Sabda Nabi s.a.w.:

ما أحل الله في كتابه فهو حلال ، وما حرم فهو حرام ، وما سكت عنه فهو عافية ، فاقبلوا من الله العافية ، فإن الله لم يكن نسيا » ثم تلا هذه الآية ( وما كان ربك نسيا)
“Apa yang Allah halalkan dalam kitabNya maka halal. Apa yang Allah haramkan, maka haram. Apa yang Dia diamkan maka itu dimaafkan. Terimalah kemaafanNya. Kerana sesungguhnya Allah tidak pernah lupa sesuatu pun”. Lalu baginda membaca firman Allah (maksudnya): “Maka tidaklah tuhanmu itu lupa” (hadis ini diriwayatkan oleh al-Hakim dan al-Darqutni, dinilai sahih).


4. Sesiapa yang meneliti nas-nas al-Quran dan al-Sunnah akan mendapati alangkah sedikitnya perkara yang diharamkan Allah dan alangkah banyaknya perkara-perkara yang Allah diamkan tanpa diberikan hukum. Itu semua termasuk dalam perkara yang dihalalkan sebagai satu kemaafan Allah untuk umat ini. Justeru, saya begitu pelik apabila ada yang menyatakan dalam Islam ini kebanyakan perkara tidak boleh dimakan, diminum dan dibuat. Saya katakan itu dakwaan yang salah, dalam Islam ini, kebanyakan perkara boleh dibuat, dimakan dan diminum. Yang halal itu banyak, sementara yang haram pula sedikit. Adapun perkara-perkara yang diharamkan itu pula, ada gantinya yang halal yang begitu banyak. 

Diharamkan arak, dihalalkan begitu banyak minuman lain yang tidak memabukkan. Diharamkan judi, dibenarkan hadiah, upah dan berbagai lagi. Diharamkan zina, disyariatkan perkahwinan. Diharamkan menilik nasib, diajar kepada umat ini solat istikharah. Haramkan babi dan anjing, dihalalkan berbagai binatang yang lain yang begitu banyak. Begitulah seterusnya.
Mengapakah manusia menganggap Islam ini sempit? Padahal hanya sedikit diharamkan untuk kemaslahatan manusia. Dan itupun bersama gantian.Firman Allah: 

الَّذِينَ يَتَّبِعُونَ الرَّسُولَ النَّبِيَّ الْأُمِّيَّ الَّذِي يَجِدُونَهُ مَكْتُوبًا عِنْدَهُمْ فِي التَّوْرَاةِ وَالْإِنْجِيلِ يَأْمُرُهُمْ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَاهُمْ عَنِ الْمُنْكَرِ وَيُحِلُّ لَهُمُ الطَّيِّبَاتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ وَيَضَعُ عَنْهُمْ إِصْرَهُمْ وَالْأَغْلَالَ الَّتِي كَانَتْ عَلَيْهِمْ فَالَّذِينَ آَمَنُوا بِهِ وَعَزَّرُوهُ وَنَصَرُوهُ وَاتَّبَعُوا النُّورَ الَّذِي أُنْزِلَ مَعَهُ أُولَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ
(maksudnya): “Mereka yang mengikut Rasulullah (Muhammad s.a.w) Nabi yang ummi (tidak menulis dan membaca), yang mereka dapati tertulis (namanya dan sifat-sifatnya) dalam Taurat dan Injil yang ada di sisi mereka. Dia menyuruh mereka dengan perkara-perkara yang baik, dan melarang mereka daripada melakukan perkara-perkara yang keji; dan dia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk; dan ia juga menghapuskan dari mereka beban-beban dan belenggu-belenggu yang ada pada pada mereka. (Surah al-‘Araf: 157).


KENAPA BANYAK YANG HARAM?

5. Jika manusia merasakan Islam terlalu banyak mengharamkan, maka itu mungkin berlaku atas dua sebab;


Pertama: manusia sendiri yang mencemari yang halal sehingga ia bertukar haram. Umpamanya, bersuka ria adalah dihalalkan dengan syarat tidak dicampuri perkara-perkara yang dilarang. Apabila unsur judi dijadikan saluran bersuka ria umpamanya, maka ia menjadi haram. Pengurusan kewangan kesemuanya halal. Namun hari ini unsur riba dan penindasan telah dimasukkan dalam banyak urusan kewangan, maka bank-bank banyak yang beroperasi secara haram di segi syarak. Nyanyian dan lagu diizinkan oleh baginda Nabi s.a.w., namun apabila diselangi dengan unsur-unsur yang buruk maka ia dilarang. Bukan Islam jumud atau sempit. Apabila kita ingin mendengar nyanyian kita sebenarnya hendak mendengar kata-kata yang indah dan bermakna. Bukan melihat pendedahan badan, atau gelagat liar, atau aksi yang pelik-pelik. 

Kedua: Islam kelihatan sempit dan jumud apabila wujudnya dalam kalangan umat Islam pihak yang asyik mengharamkan segala perkara. Seakan prinsipnya segala perkara itu haram, sehingga terbukti halal. Ini menyanggahi nas-nas Islam yang dinyatakan oleh Allah dan rasulNya. Maka apa sahaja yang dia syak terus haram, bukan sahaja untuk dirinya, tapi untuk orang lain juga. Lalu diharamkan nyanyian secara umum, diharamkan bersiar-siar, diharamkan ketawa, diharamkan barangan jenis itu dan ini atas prasangka sempit dan berbagai lagi. Lalu Islam dituduh oleh orang lain sempit, sedangkan Allah menyebut :
يَا بَنِي آَدَمَ خُذُوا زِينَتَكُمْ عِنْدَ كُلِّ مَسْجِدٍ وَكُلُوا وَاشْرَبُوا وَلَا تُسْرِفُوا إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الْمُسْرِفِينَ (31) قُلْ مَنْ حَرَّمَ زِينَةَ اللَّهِ الَّتِي أَخْرَجَ لِعِبَادِهِ وَالطَّيِّبَاتِ مِنَ الرِّزْقِ قُلْ هِيَ لِلَّذِينَ آَمَنُوا فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا خَالِصَةً يَوْمَ الْقِيَامَةِ كَذَلِكَ نُفَصِّلُ الْآَيَاتِ لِقَوْمٍ يَعْلَمُونَ (32) قُلْ إِنَّمَا حَرَّمَ رَبِّيَ الْفَوَاحِشَ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ وَالْإِثْمَ وَالْبَغْيَ بِغَيْرِ الْحَقِّ وَأَنْ تُشْرِكُوا بِاللَّهِ مَا لَمْ يُنَزِّلْ بِهِ سُلْطَانًا وَأَنْ تَقُولُوا عَلَى اللَّهِ مَا 

لَا تَعْلَمُونَ (33)
(maksudnya) Wahai anak-anak Adam! Ambillah perhiasan kamu setiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang), juga makanlah dan minumlah, dan jangan pula kamu melampau (berlebihan); sesungguhnya Allah tidak suka akan mereka yang melampaui batas. Katakanlah (Wahai Muhammad): "Siapakah yang (berani) mengharamkan perhiasan Allah yang telah dikeluarkanNya untuk hamba-hambaNya, dan demikian juga benda-benda yang baik dari rezeki?" katakanlah: "Semuanya itu adalah (nikmat-nikmat) untuk orang-orang yang beriman dalam kehidupan dunia; hanya khas untuk mereka pada hari kiamat". 

Demikianlah Kami jelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi orang-orang yang (mahu) mengetahui. Katakanlah: "Sesungguhnya Tuhanku hanya mengharamkan perbuatan-perbuatan yang keji, sama ada yang nyata atau yang tersembunyi; dan perbuatan dosa; dan perbuatan menceroboh dengan tidak ada alasan yang benar; dan (diharamkanNya) kamu mempersekutukan sesuatu dengan Allah sedang Allah tidak menurunkan sebarang bukti (yang membenarkannya); dan (diharamkanNya) kamu memperkatakan terhadap Allah sesuatu yang kamu tidak mengetahuinya (Surah al-A’raf: ayat 31-33).

LOGO HARAM

6. Sebab itu saya pernah mencadangkan dalam negara Islam seperti Malaysia, kita perlukan logo makanan haram. Kita ambil tindakan kepada yang menjual makanan haram tanpa meletakkan logo haram. Sebabnya, sepatutnya dalam negara kita yang halal itulah yang banyak, sementara yang haram itu sedikit. Itu selaras dengan prinsip Islam. Maka, secara praktikalnya yang patut dilogokan adalah yang sedikit, bukan yang banyak. Jika tidak, tindakan undang-undang boleh dikenakan kepada pengeluar. Maka tidak timbul isu makanan haram, atau cop halal palsu. Yang ada hanyalah cop haram. Mana mungkin ada orang suka diletakkan cop haram secara tipu-tipu. Sebaliknya, semua pengusaha akan berusaha agar mereka tidak mendapat atau diwajibkan menampal cop haram. Lalu semua perkara akan beransur menjadi halal. 

Patutnya, makanlah apapun produk selagi tidak diletakkan logo haram, maka silalah. Itu barulah namanya negara umat Islam. Jika kita hendak menjana pendapatan dengan logo halal pun, mungkin itu untuk luar negara yang bukan Islam ataupun untuk produk yang mencapai satu standard operasi yang lagi halal lagi baik. Ertinya, dalam negara ada logo haram bagi yang haram. Ada yang tiada logo tandanya halal. Sementara ada yang ada logo sebagai tanda halal, baik dan tiada sebarang keraguan.

7. Di samping kita perlu tahu, baginda Nabi s.a.w begitu luas dalam soal makanan halal ini. Sebab itu apabila kaum yang baru menganut Islam berkata kepada Nabi s.a.w:
قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ هَا هُنَا أَقْوَامًا حَدِيثٌ عَهْدُهُمْ بِشِرْكٍ يَأْتُونَا بِلُحْمَانٍ لَا نَدْرِي يَذْكُرُونَ اسْمَ اللَّهِ عَلَيْهَا أَمْ لَا قَالَ اذْكُرُوا أَنْتُمْ اسْمَ 



اللَّهِ وَكُلُوا
“Sesungguhnya satu kaum membawa kepada kami daging yang kami tidak tahu mereka menyebut nama Allah atau tidak? Adakah kami boleh memakannya atau tidak? Sabda Nabi s.a.w.: “Kamu sebutlah nama Allah dan makanlah” (Riwayat al-Bukhari).

Maksudnya, jika zahirnya halal tapi kamu tidak pasti tentang hal itu, kamu boleh menyebut nama Allah semasa hendak makan kemudian makanlah.
Maka, ruang halal begitu luas. Jika ada yang merungut kerana Islam asyik mengharamkan itu dan ini, maka sama ada dunia telah dicemari, atau kita sengaja menyempitkan diri.



https://www.facebook.com/208694619607984/photos/a.208731059604340.1073741828.208694619607984/212190655925047/?type=3&theater



Labels: agama

TERIMA KASIH SUDI BACA MENGAPAKAH DUNIA DIPENUHI YANG HARAM DAN LOGO HARAM ????peniaga non-muslim. TOLONG SHARE...!

https://telegram.me/joinchat/C6A73gqgSPgew3r9ovpDxg Chat Conversation End



Back To Top