Laman Portal berita Semasa Dan terkini!!

Kerajaan Brunei Benarkan Lelaki Dan Perempuan Sertai Tarian Zumba Dengan Syarat..

BANDAR SERI BEGAWAN – Kerajaan Brunei masih lagi membenarkan pusat kesihatan tempatan menawarkan kelas tarian zumba dengan pelanggan lelaki dan wanita di dalam kelas yang sama.

Kelonggaran tersebut diizinkan selagi mereka terus mematuhi Perintah Peraturan Kecantikan dan Kesihatan 2016 yang baharu diwartakan, kata seorang pegawai kanan kerajaan yang dipetik akhbar tempatan, The Brunei Times.

Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Dalam Negeri, Haji Mohd. Sunadi Haji Buntar berkata, sesi kecergasan berbentuk tarian itu kebanyakannya dijalankan dalam keadaan persekitaran yang mudah dilihat oleh semua peserta.

Situasi itu menjadikan kelas berkenaan tidak mungkin bagi mereka untuk melibatkan diri dalam aktiviti yang mencurigakan pihak berkuasa. Ini katanya, adalah berbeza daripada kes kedai salun rambut dan rumah urut.

Justeru, pihak berkuasa Brunei setakat ini belum berhasrat untuk mengikut jejak jirannya, Sabah yang terpaksa mengingatkan rakyat negeri itu mengenai fatwa haram mengikuti senaman zumba diwartakan pada 2014 lalu.

Mohd. Sunadi malah berkata, kelonggaran turut diberikan kepada kelas spinning atau aktiviti berbasikal setempat dengan iringan muzik rancak yang juga ditawarkan kebanyakan pengusaha pusat kesihatan di negara tersebut.

Beliau berkata demikian ketika ditemui The Brunei Times pada pameran bergerak serta taklimat peraturan perniagaan kesihatan dan kecantikan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Kuala Belait dekat sini hari ini.

Kerajaan Brunei menerusi peraturan baharu mulai tahun ini memperkenalkan sistem mata demerit untuk perniagaan kesihatan dan kecantikan dengan pengusaha memiliki 20 mata demerit akan dibatalkan lesen mereka.

Mohd. Sunadi turut mengingatkan bahawa pusat kecergasan masih akan mendapat 10 mata demerit jika mereka gagal untuk menyediakan bilik persalinan yang berasingan untuk pelanggan lelaki dan wanita di premis mereka.

Beliau juga menggesa setiap pengajar untuk berpakaian yang ‘sewajarnya’ kerana kegagalan berbuat demikian jika dikesan pihak berkuasa akan mengakibatkan perniagaan pusat itu menerima hukuman dengan 10 mata demerit.

“Kesesuaian sini adalah bergantung kepada akal fikiran seseorang,” katanya sambil menambah bahawa pakaian berkenaan “tidak singgung perasaan orang lain” dan “tidak boleh buat apa-apa perhatian yang tidak perlu.”

Peraturan baharu ini, bagaimanapun, hanya terpakai kepada pekerja perniagaan kesihatan dan kecantikan. Para pekerja digalakkan untuk menasihati pelanggan jika mendapati pakaian mereka mungkin didapati tidak sesuai.

“Tetapi harus diperhatikan bahawa ia tidak bermakna kita berada di luar (untuk tangkap orang yang melakukan kesalahan). Ia sebenarnya adalah garis panduan untuk meneruskan lesen perniagaan,” kata Mohd. Sunadi.

“Sebelum ini, kita mempunyai peruntukan sebegini dalam Akta Kepelbagaian. Sekarang ia telah digantikan, kita memerlukan undang-undang baharu lebih tegas untuk melengkapkan pemberian lesen perniagaan,” ujarnya.

Mohd. Sunadi dalam pada itu berkata, pihak Kementerian Dalam Negeri Brunei masih lagi akan menjalankan pemeriksaan secara rawak dari semasa ke semasa, dan berdasarkan aduan yang diterima daripada masyarakat.

“Jika premis kesihatan dan kecergasan ini didapati berjaya mematuhi peraturan pelesenan ditetapkan, maka mengapa kita harus keluar buang masa untuk mengambil tindakan terhadap mereka jika tidak perlu?” soalnya.

Mohd. Sunadi bahkan menjelaskan bahawa, peruntukan dalam perintah yang terbaru itu adalah untuk pihak kerajaan dan perniagaan untuk memahami dan mematuhi status Brunei kekal sebagai sebuah negara Islam.

“Selagi perkara berkaitan peraturan ini diikuti dengan baik, sepatutnya tidak ada apa-apa masalah besar kepada kedua-dua pihak untuk dapat bekerjasama,” ujar beliau lagi. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA



https://www.facebook.com/208694619607984/photos/a.208731059604340.1073741828.208694619607984/212190655925047/?type=3&theater



Labels: semasa

TERIMA KASIH SUDI BACA Kerajaan Brunei Benarkan Lelaki Dan Perempuan Sertai Tarian Zumba Dengan Syarat.. . TOLONG SHARE...!

https://telegram.me/joinchat/C6A73gqgSPgew3r9ovpDxg Chat Conversation End



Back To Top