Laman Portal berita Semasa Dan terkini!!

Dia mengamuk lagi! Cikgu sudah bergenang air mata, putus akal fikir kaedah tenangkan anak ini...


sekadar gambar hiasan



Guru ibarat pelita yang menerangi. Perumpamaan ini memang dari dulu telah diperdengarkan. Ya! Seorang guru sanggup berbuat apa sahaja demi kepentingan anak bangsanya. Sebutlah apa sahaja...pelbagai skop tugasan telah guru itu terokai. Walaupun pada dasarnya tugas guru itu sebagai pendidik, namun tugas guru telah melangkaui sempadannya. Dialah seorang pendidik, dialah juga seorang penjaga tatkala anak murid ada yang 'terkucil' di dalam kelas, dia jugalah tukang jahit ketika perlu menjahit maskot rumah sukan, tukang masak, tukang cuci dan pelbagai lagi tugasan yang dilakukan secara sukarela.

Guru juga sebagai kaunselor dan juga adakala perlu bertindak seperti seorang penjinak kuda mahir! Tak percaya? Nah, bacalah dengan penuh jiwa coretan seorang guru ini sehingga enimbulkan kesan yang mendalam pada admin. Ternyata tugas seorang guru itu bukanlah mudah seperti yang disangka. Malah lebih daripada itu... #Jap, admin nak kesat air mata.

Jangan lelah berusaha Cikgu!

========================

Dia mengamuk lagi! Kali ini habis meja dan kerusi yang berhampiran dengannya diterbalikkan. Dihumban beg-beg sekolah milik rakannya berterabur di dalam kelas. Kelas itu sekali lagi menjadi huru-hara. Murid-murid lain semuanya telah dikumpulkan di luar bilik darjah. Berkerumun berhampiran dengan guru mereka yang bergenang air mata di koridor bilik darjah. Barangkali mahu menangis kerana sudah putus akal memikirkan kaedah menenangkan anak ini.

Seorang guru senior cuba menenangkan murid lelaki yang seperti gajah naik minyak itu. Guru perempuan yang punyai belasan tahun pengalaman mengajar murid tahun satu itu nyata tenang menghadapi anak ini. Dibiarkannya anak ini bertindak ganas menolak meja dan kerusi sambil menjerit-jerit. Barangkali menzahirkan ketidakpuasan hati. Dia hanya mengawal dan menghalang anak ini daripada mencederakan diri sendiri.

Guru perempuan itu seolah-olah seperti seorang penjinak kuda mahir yang sedang berusaha menghadapi kuda yang enggan diletakkan tali pedatinya. Sekejap-sekejap dia juga persis seorang matador yang sedang menghadapi lembu jantan yang ganas dengan kain merah ajaibnya. Menepis barang-barang yang dilemparkan kepadanya oleh anak malang ini.

Bukan sekali ini anak berusia tujuh tahun ini mengamuk begini. Berkali-kali sudah amukannya menghentikan pengajaran dan pembelajaran yang sedang berlangsung di dalam bilik darjah. Para guru terpaksa mengawalnya agar dia tidak mencederakan rakan-rakan sekelasnya. Pernah sekali salah seorang murid di dalam kelas itu cedera terkena bekas pensel besi yang dibalingnya membuta tuli. Hanya kerana salah seorang rakannya mengusik bekas pensel tersebut tanpa izinnya. Dan selalunya apabila penat mengamuk dia akan tertidur di kerusi atau meja tulisnya.

Setelah berbulan sekolah berlangsung, dia masih begitu. Sehinggakan menjadi bualan para guru. Kerap juga menerima aduan dan rungutan dari para ibu bapa yang risaukan keselamatan anak mereka di dalam kelas tersebut. Beberapa kali guru-guru tahun satu berbincang untuk menangani karenahnya yang suka mengamuk itu. Namun sering kali berakhir dengan usaha yang tidak tahu janji hasilnya. Sudah mati akal guru-guru.

Dirujuk kepada kaunseling, berbincang dengan ibu bapa, pendekatan psikologi semuanya sudah dibuat namun dia tetap begitu. Kaunselor juga menemui jalan buntu. Hati guru mana yang mampu bertahan jika anak muridnya terus begitu tanpa boleh dirawat. Ibunya apatah lagi. Sentiasa berendam air mata apabila bertemu guru-guru di sekolah. Ibu mana yang mampu menahan perasaan bila anaknya berperangai sedemikian.

Akhirnya para guru mengambil keputusan. Tidak mengapa dia mengamuk sedemikian. Asalkan dia masih mahu menghadirkan diri ke sekolah, Menyediakan satu senarai tindakan untuk menjaga keselamatan murid-murid lain sekiranya dia mengamuk. Dan mengambil langkah untuk mengubah tingkah laku anak ini secara beransur-ansur. Bermula dengan nasihat salah seorang ustaz yang mahu para guru memanggilnya dengan nama keduanya kerana nama pertamanya dalam Bahasa Arab membawa maksud yang amat keras jika diterjemah ke dalam Bahasa Melayu.

Guru-guru yang mengajar di kelas anak ini sungguh luar biasa. Meskipun saban hari berhadapan dengan amukan anak ini tidak sedikit pun memutuskan nafsu mereka untuk terus mendidik. Ya, ada kalanya mereka mengeluh. Namun keluhan itu bukanlah lambang putus asa atau harap tetapi sebagai mukadimah buat memanjang bicara mencari solusi menghuraikan kekusutan mereka. Dan selepas itu masing-masing tetap bertebaran ke kelas-kelas membawa cahaya semangat baharu.

Itu kisah 5 tahun yang lalu. Sememangnya ada banyak perkara yang tidak dapat diselesaikan serta merta. Perlukan ketabahan dan pengorbanan yang tinggi untuk membuat perubahan sedikit demi sedikit. Mencetak manusia tidak semudah mencetak buku. Memupuk tingkah laku positif tidak semudah menulis bait-bait ayat dalam helaian buku. Mencorak hati memerlukan lebih daripada sebatang pena.

Mutakhir ini, kemenjadian menjadi satu kalimah yang sering disebut-sebut. Diseru kepada sekalian guru agar menjadikannya sebagai hasrat utama warga pendidikan. Justeru laksana soldadu di medan tempur yang dilengkapi senjata buat menewas musuh, dilengkapkan semua guru dengan idea-idea kemenjadian murid yang menjadi aspirasi pendidikan negara.

Saya masih ingat suatu waktu di mana saya bertemu dengan seorang guru yang sudah bersara. Bertukar-tukar pandangan dan cerita menarik tentang suasana pendidikan. Separuh hayatnya dihabiskan dalam mendidik anak-anak di sekolah rendah. Katanya, bergaul dengan anak-anak sekolah rendah, jangan mudah hilang sabar. Kena ada OTAK. Bukan otak di kepala ini semata tetapi,

O :- Observe ( sentiasa memerhati tingkah laku mereka )

T :- Target ( Perlu ada sasaran apa yang ingin diperbaiki )

A :- Action ( Bertindak pantas pada tingkah laku yang negatif )

K :- Knowledge ( Ilmu pengetahuan mengenai tingkah laku dan psikologi mereka sentiasa perlu ditingkatkan) .

Tersengih-sengih aku saat beliau menghuraikan setiap akronim itu. Sepanjang perbualan kami banyak sungguh akronim yang dikongsikan. Semuanya aku catatkan buat bekalan untuk menempuh cabaran dunia pendidikan.

Tidak dinafikan kemenjadian itu amat mudah disebut namun menciptanya sering kali menyebabkan air mata tumpah dan hati yang retak seribu. Justeru daya tahan yang amat tinggi diperlukan bagi mereka yang melibatkan diri dalam dunia percetakan manusia ini.

Ya...kita! Ibu bapa, para guru, para ustaz dan ustazah, pensyarah, pendakwah dan sesiapa sahaja yang meletakkan dedikasi kehidupannya untuk mencetak manusia. Orang-orang yang menjadi penyumbang utama kepada ketamadunan manusia yang manusiawi bukan sekadar kemodenan kering yang menafikan peranan hati dalam kemajuan teknologi yang dibangunkan.

Membentuk kemenjadian generasi alaf ini memerlukan para guru terutamanya menjadi pohon yang subur dan sentiasa berbuah. Memberi manfaat bukan sahaja kepada manusia yang sukakan buahnya, malahan kepada haiwan yang bergantung hidup dengannya.. Paling tidak menjadi tempat menumpang teduh sang musafir dari panas terik matahari. Dilempar batu, kayu dan kadang kala selipar oleh anak-anak yang berhajat kepada buahnya. Namun setiap lemparan itu kita balas dengan buah-buahan yang masuk ranum untuk dinikmati mereka. Dan kekal kita begitu sehingga sampai ketetapan untuk menjemput kita kembali.

Untuk para guru yang mengabdikan diri dengan usaha-usaha men'jadi'kan murid-murid ini, parut luka pengorbanan sememangnya tidak pernah sembuh. Pergorbanan itu bererti berkorban. Berkorban itu selalunya sakit dan derita. Dan seolah-olah telah ditakdirkan bahawa derita itu akan sentiasa menjadi asam garam perjuangan. Sungguhpun jika dilihat guru-guru alaf ini dari sudut materinya sudah agak senang dan terbela, namun jika diselak dalam sudut hatinya senantiasa akan ada parut-parut luka emosi dan harapan yang tidak selalunya indah. Itulah guru.

Kini setelah 5 tahun berlalu sudah. Anak yang dahulunya terkenal dengan amukannya kini menjadi sebaliknya. Dia kini dikenal sebagai murid yang paling bersopan dan tinggi hormatnya kepada guru. Tiada lagi amukan luar biasanya melainkan kemarahan biasa seorang anak lelaki bila diusik rakan sebaya. Para guru terus dan sentiasa memujinya. Beliau seolah-olah anak yang membesar dengan pujian dan perhatian istimewa para guru. Dari sekeras-keras manusia kini dia berubah menjadi seorang yang lebih matang dan lembut dalam tingkah lakunya. Jika ada murid yang tersenyum, memberi salam dengan suara yang penuh sopan di sekolah ini, maka dia lah orangnya.

Dan dengan ini sudah cukup untuk membuatkan aku tersenyum puas dan bersyukur meskipun banyak parut luka di hati yang masih belum sembuh.

Asmadi Abdul Samad

Dalam hati ada taman.

**Dedikasi buat rakan guru super Nik Zarina Nik Mohamad, Nurazwan Abdullah, Zaimila Fazli, Sheila Hasrol, Linda Lin, Sitirahayuhussin Rahayu, guru-guru SKBASKK dan semua pendidik di tanah air.

http://www.gpsbestari.com



https://www.facebook.com/208694619607984/photos/a.208731059604340.1073741828.208694619607984/212190655925047/?type=3&theater



Labels: kisah

TERIMA KASIH SUDI BACA Dia mengamuk lagi! Cikgu sudah bergenang air mata, putus akal fikir kaedah tenangkan anak ini.... TOLONG SHARE...!

https://telegram.me/joinchat/C6A73gqgSPgew3r9ovpDxg Chat Conversation End



Back To Top